Sunday, June 22, 2014

Dotdotdot

Buat sepotong nama yang sering aku rindukan

Sekujur tubuh yang sering dalam ingatan

Sekeping hati yang enggan kau berikan

Sebuah cinta telahpun kau hancurkan

Saturday, June 14, 2014

Kongsi

Mengapa sibuk melangut berkongsi bulan?
Sedang bumi yang dijejak ada di kaki.
Mengapa sibuk rindu itu kau khabarkan?
Sedang hati kita pun berkongsi.

Thursday, June 12, 2014

Hidup

Aku telah sampai ke satu tahap hidup dimana aku mahu ia berada di garis plateau. Dimana aku akan dikelilingi oleh orang-orang yang sama, menjalani hidup yang lebih atau kurang sama setiap hari. Tiada apa-apa yang dinamik. Kiranya, aku mahu terusan merasa bahagia bersama orang-orang di sekeliling aku itu. Kalau ada pun kecewa, biarlah kecewa yang kecil-kecil sahaja, kemudian hidup kembali seperti biasa.

Aku tidak mahu perubahan. Aku tidak mahu ada yang baru datang atau yang sudah ada pula pergi. Aku mahu semua berada di paksi masing-masing. Berputar pada tempatnya, tidak menjengah ke paksi yang lain.

Tapi itu cuma apa yang aku mahu.

Hidup. Mana mungkin kehidupan itu terus-terusan sahaja sama. Yang ada akan hilang, yang tiada akan muncul mendatang. Dan sekali-sekala diberi kejutan dengan sesuatu yang tidak disangka-sangka.

Aku sedar kini aku sedang di fasa perubahan. Satu demi satu orang di sekeliling aku mulai menapak ke alam yang baru, dan sudah tentu langkah itu telahpun menjarakkan hubungan yang pernah kami ada dulu. Kalau dulu hidup aku yang kekurangan ini diisi dengan kasih sayang dari kawan-kawan sekeliling, kini aku dapat rasakan kekurangan itu sudah kembali berada di tempatnya, kembali tidak berisi. Jadinya aku kembali ditinggalkan dengan lompongan-lompongan kecil di hati.

Sudah berapa kali aku memperingati diri aku, hidup ini sebenarnya memang menyendiri. Dan mereka-mereka di sekeliling aku itu bukanlah untuk terus kekal di sisi aku selama-lamanya.

Mereka semua akan pergi.

Thursday, June 5, 2014

Jodoh

Pernah suatu masa dahulu aku ditemukan dengan seorang lelaki yang baik hati, yang selalu menjaga kebajikan aku, yang sopan tutur katanya. Sungguh, baik orangnya. Sehingga hati kecil ini mula berbisik "barangkali inilah jodoh kamu".

Dan aku, menjadi seorang aku yang suka berterus-terang dan mahukan kepastian, aku bertanya pada lelaki itu. Pernah dia terfikir bagaimana agaknya jika jodoh kita adalah untuk masing-masing? Dan si dia tidak menolak, cuma tersenyum dan berkata "kita serahkan saja kepada Tuhan".

Jadi mulai malam itu, aku mahukan kepastian dari Tuhan. Aku mohon padaNya untuk didekatkan hati kami sekiranya benar jodoh kami adalah untuk bersama, dan aku mohon untuk dijauhkan dari sebarang perasaan yang tidak sepatutnya ada sekiranya dia bukan untuk aku. 

Dan cuma selang beberapa hari selepas itu, kami bertengkar akibat sebab yang kecil. Mungkin juga berpunca dari baran darah muda seorang aku, kata-kata aku telah menyebabkan hatinya amat terguris dan kami mula mengambil haluan masing-masing.

Sungguh, Tuhan itu cuma mahu kamu minta pada Dia. Mintalah. Dia Maha Mendengar.

Thursday, May 29, 2014

kadang-kadang rasa nak membebel. kasi can lah

Sebenarnya ada satu masa aku jadi rimas tengok orang bercinta sebelum kahwin ni, sebab aku rasa orang bercinta ni hipokrit.

Contoh situasi macam ni. Tapi ni kira situasi bodoh-bodoh jela aku bagi. Ada orang ajak kau masuk choir untuk pertandingan kolej misalnya. Mula-mula kau setuju, tapi lepas tu tiba-tiba kau kata kau nak tarik diri. Alasannya, kau dah taknak menyanyi depan orang ramai ni. Suara kan aurat. Bagus lah. (walaupun sebenarnya kau tarik diri sebab boyfriend kau tak bagi) Tapi setiap malam kau bergayut dengan boyfriend, suara manja-manja, siap nyanyi-nyanyi dekat dia, tiba-tiba suara dah tak aurat ke?

Memang aku tak faham, sebab aku kan single. Mana nak faham perasaan orang bercinta ni.

Tapi bagi aku, cubalah bertahan. Selagi dia belum suami kau, dia belum isteri kau, tak perlu kot nak bercinta lebih-lebih. Ni belum kahwin dah kena delete Instagram Twitter Facebook apa semua sebab boyfriend jealous. Eh susahlah macam tu. 

Tiba-tiba macam garang pulak hari ni. Mungkin sebab baru lepas tengok 500 Days of Summer? Aku benci Summer. Dia buat-buat innocent macam dia tak bersalah padahal memang sepanjang masa dia yang salah. Tak baik tau mempermainkan perasaan orang! 

Sunday, May 25, 2014

cuba

Untuk menulis sesuatu yang gembira tatkala hati sedang bersedih adalah sukar.
Lebih sukar dari mengukir senyuman ketika hati sedang menangis.
Lebih sukar dari ketawa tanpa memahami tentang lawak yang baru disampaikan.
Lebih sukar dari dari menyuap makanan ketika selera tiada.

Aku mahu berhenti menulis tentang kesedihan tetapi tiada kegembiraan yang datang mengunjungi aku buat masa ini.

Atau apakah harus aku mencari di manakah kegembiraan untukku itu sedang bersembunyi?

Apa ia ada di sebalik air mata yang belum berjaya aku seka?

Friday, May 23, 2014

aku silap saat aku kenal kamu

Aku silap
Saat aku kenal kamu aku tulis terus nama kamu
dalam hati aku
di sudut paling dalam
yang sukar untuk aku korek gali untuk buang kembali
Aku silap
Saat aku kenal kamu aku tulis terus nama kamu
di sudut atas bibir kerana aku sangka ketawa yang akan kamu bawa
Aku silap
Saat aku kenal kamu aku tulis terus nama kamu
guna dakwat kekal
hingga tiada apa bisa aku lakukan untuk memadamnya kembali


Aku silap
Saat aku kenal kamu aku tulis terus nama kamu
dan aku ukir sehingga berdarah pekat
dan ukiran itu, sampai bila-bila akan kekal di situ.