Tuesday, December 10, 2013

that song

Have you ever get stuck to one song, and you just can't get rid of it?

You just keep repeating the song over, and over, and over again. In your mind you know that you have heard the song too much. You know you are now attached to it, emotionally. You want to hear it every single time. Your brain sings it even when it is silence. At one point you know its too much and finally you try to listen to other songs. After a while, unconsciously you started to go back to the first song. The one that haunted you. And once again, you are stuck with it.

Or maybe, its just something that I alone face.

Maybe I am that clingy. Clingy to the one that I attached my emotion to it, I thought I could never let it go. when the fact is, I can. I just refused to.

The same thing, I am too clingy to my past. I can never seem to get rid of you. Well maybe someday, but not in the meantime.

And it ate my heart.

Saturday, December 7, 2013

selamat tinggal

bukan senang untuk aku ucap selamat tinggal
walau pada anak patung kesayangan yang telah patah tangan
yang terpaksa ibu campakkan sambil aku menjerit masih mahukan

rumit untuk aku ucap selamat tinggal
pada cinta yang telah sedalamnya aku luahkan suatu ketika lalu
yang akhirnya terkubur bersama-sama jiwa aku
yang turut pergi bersama pada tahun itu
jiwa yang pernah aku kata "mana mungkin aku hidup tanpa kamu"
dan kini nafasku seolah tinggal separuh

berat untuk aku ucap selamat tinggal
walau hakikatnya telah lama dan jauh aku kau tinggalkan.






p/s: menyahut cabaran CreativeTuesday bertemakan "selamat tinggal" di https://www.facebook.com/ZineParacetamol?ref=hl

Wednesday, November 20, 2013

Surat beralamatkan syurga

Untuk tidak berada bersama-sama mereka yang tercinta meniti hari bahagia itu sesungguhnya adalah menyedihkan.

Dan menyedari bahawa kau tidak mungkin akan ada bersamaku di hari bahagiaku,
Adalah mematikan.

Saturday, November 16, 2013

Lepaskan

Pada semua ungkapan mesra kita
Pada bunga-bunga yang pernah mekar disirami dengan cinta
Pada hati yang menyimpan seribu janji pada diri
Pada sang pelangi yang muncul di setiap senyummu yang terukir
Pada kasih yang semakin hanyut ke dasar hati
Pada bulan dan bintang yang setia menemani malam kita, dulu
Kini
Lepaskan aku, pergi
Lepaskan aku dari mimpi.

Tuesday, November 5, 2013

Hujan di Mesir

Engkau itu ibaratnya seperti hujan di bumi Mesir
Yang hadirnya tidak diduga
Dan cuma sekali-sekala
Iaitu saat musim mulai berubah
Kemudiannya kau hilang
Membiarkan jiwa-jiwa kehausan hujan
Merenung langit dan mengharapkan rintik-rintik
Walau cuma setitik
Demi terbitnya senyum sedetik.

Wednesday, October 30, 2013

Puisi aku

Selama masa ini
Telah aku biarkan pena ini
Meluncur di atas putihnya helaian kertas
Bertemakan cinta
Berlatarbelakang kebun bunga

Melepaskan kau pergi
Umpama membuang semua puisi
Mencampak jauh pena dan isi
Kerana tanpa kamu
Hilanglah puisi aku.

Monday, October 21, 2013

Takdir

apakah takdir kita?
kita percaya jodoh itu milik kita
setelah ditabur janji setia
apakah selamanya kita akan bersama?
apa akan tiba harinya untuk kita
sedang kini aku memperlihatkan
sang janji sedang dimurkai
saat ijab dan kabul kau bersama wali dan saksi
tapi bukan dengan aku
apakah ini sebuah takdir palsu?

Saturday, October 12, 2013

Gunung berapi

Sama
Magma tertanam di dasar
Masih tenang tidak merbahaya.
Sekali ia menjadi lava
Melimpah ruah ke sekelilingnya
Panas.
Binasa.

Monday, September 16, 2013

Burung migrasi

Secara lumrahnya kita pasti mahu hidup bersama seorang yang kita rasa akan membawa kita bahagia. Bahagia yang tak dapat digambarkan dengan kata-kata yang cuma mereka yang melaluinya sahaja tahu bagaimana perasaan itu. Aku juga mahu, tapi aku rasa seolah-olah bukan sekarang waktunya, kerana sekarang aku sedang bahagia bersendiri.

Mungkin orang akan anggap yang aku tipu, tapi aku tahu apa yang aku rasa. aku sesungguhya lebih selesa hidup sendiri, buat masa ini. Hidup sendiri di sini bukanlah hidup terasing dari manusia, jauh dari keluarga dan sebagainya. Tak, maksud aku dari segi pasangan hidup. Aku kini di fasa aku selesa untuk meneruskan rutin aku makan seorang di kedai makan, membeli-belah tanpa teman, memandu berseorangan. Aku sedang menikmati hidup bersama aku. Aku sedang selesa bersama diri sendiri. Menjadi teman kepada diri sendiri. Menjadi seorang yang digelar 'independent woman', tanpa perlu meminta izin untuk berbuat apa-apa. Aku sepertinya seekor burung migrasi yang tiba ke sebuah destinasi yang sedang paling aku selesa, dan sedang menikmati hari-hari aku di situ.

Dan pastinya burung migrasi ini akan terbang ke destinasi seterusnya. Suatu masa nanti.

Terima kasih buat si pematah hati, yang memberi kesedaran kepada aku untuk lebih menyayangi hati ini sendiri, bukan untuk memberinya kepada mereka-mereka yang tidak sudi.

Thursday, September 12, 2013

Buat yang tersayang

Seperti sang ombak yang tidak jemu memukul pantai
Seperti hamparan butiran sang pasir
Bagai bayu pantai meniup lemah gemalai
Dan setiap langkah yang aku susuri
Di setiap celik mata di pagi hari
Takkan pernah doaku
Untukmu
Berhenti.

Thursday, August 22, 2013

berkenaan puisi

Salah seorang poet yang aku suka ialah Sarah Kay, dan video beliau yg pertama aku tonton adalah "When Love Arrives" dimana beliau berkongsi pentas dengan Phil Kaye.

Tapi ini  tentang poem Sarah Kay yang kedua aku tonton, iaitu "The Worst Poetry". Rangkap terakhir dalam puisi itu berbunyi:-


"I sit down to write a poem, and the only thing in my head is you- and I don’t understand why you’re the worst thing that every happened to my poetry, if you’re the best that ever happened to me"


It's the other way round for me. You are the best thing that ever happened to my poetry....

Aku juga punya satu sumber inspirasi paling kuat untuk aku menulis. Kebanyakan puisi aku berinspirasikan sumber ini. Sayangnya sumber ini sudah mati buat aku. Sekarang aku buntu, sebab puisi aku mati bersama-sama dengan dia.

Patutkah aku isytiharkan diri ini mati juga?




Tuesday, August 13, 2013

Tunggul

Sesungguhnya kasih aku terhadap kamu
sudah rimbun kuat mengakar
Bisa kau tebang dahannya
Namun cinta sudah kukuh mencengkam tanah
Bisa kau bakar tunggul biar mati
Tapi akar itu kekal melingkar dalam hati

Monday, August 12, 2013

Bintang duka

Ingin saja aku lemparkan kesedihan
Pada hamparan langit hitam
Lalu menukarkan kesedihan itu dalam bentuk bintang
Akan aku biarkan ia berkerlipan terang
Buat tatapanmu yang tersayang
Bersama orang yang kau sayang
Menjadi hiburan dan petanda kasihmu berdua
Yang enak bercanda di sebalik duka
Seorang aku
Dan semakin merdu hilai tawamu
Semakin banyak bintang itu berkelip untukmu

Sunday, August 4, 2013

Bukan Istimewa

Ingin aku belah hati kamu
Dan lekatkan aku di satu sudut
Sudut kecil nan terhujung
Cukup
Asal ada aku dalam itu

Thursday, August 1, 2013

Monolog

Kenapa aku pilih puisi?

Sebab aku selalu rasa gagal dalam komunikasi terus. Sering saja ada yang tersalah dalam mentafsir maksud aku.

Sebab kadang apa yang aku ingin ungkapkan tiada dalam bentuk perkataan. Jadi aku luahkan dalam perumpamaan.

Sebab kadang aku malu untuk jujur. Tapi dengan puisi aku bisa jujur sedalamnya.

Kenapa anda pilih puisi?

Monday, July 29, 2013

Rindu

Merindu gemerlapan bintang pada langit yang senantiasa siang
Begitulah rindu aku pada kamu
Sekadar rindu
Sampai bila-bila jiwa ini akan terbelenggu dek rasa

Wahai hati
Sampai bila mahu terus disiksa begini?

Thursday, July 18, 2013

Yang satu

Ahh. Sesak.

Musim 'sale' macam sekarang memang tak pernah tak sesak. Kau pergi lah shopping complex masa weekdays pun boleh ramai orang. Sampaikan kau jadi pelik, semua orang ni tak kerja ke? Kau takpelah. Kau student sedang bercuti. Heh.

Kau memang cerewet. Pusing satu kl nak cari satu handbag yang kau berkenan punya lah susah. Tadi kau kata kau nampak satu. Tapi kau tak ambik terus. Kau belek sana sini. Kau cakap kau perlu masa utk fikir. Dan bila kau dah buat keputusan utk ambil beg itu, kau nampak seseorang yg lain sudahpun ambil beg tersebut dan bawa ke cashier.

Just her luck. That was the last piece.

Kau pulang ke rumah dan dalam perjalanan merindui beg itu. Beg yang tak pernah pun jadi kepunyaan kau. Hanya sempat singgah memberi rasa pada sentuhan dan jiwa kau.

Sampai sudah kau terkenang dan terfikir, apa bolehkah kau berjumpa dengan that one bag yang berjaya curi hati kau lagi?

Wednesday, July 17, 2013

Sendiri

Ramadan dan terawih. Sinonim. Dari kecil sehingga sekarang, antara perkara yang dinantikan ketika ramadan adalah untuk berterawih. Dari surau kecil sehingga jadi dua tingkat. Dari belum baligh sehingga kini sudah pun meningkat dewasa, rutin malam-malam ramadan itu masih lagi sama.

Aku melangkah sendiri, berjalan kaki ke surau yang letaknya tak jauh dari rumah. Bertemankan sayup-sayup sinaran bulan dan jingga lampu jalan, aku terfikir. Terfikirkan perjalanan hidup seorang aku. Aku terfikir berapa lama agaknya perlu aku jalani hidup ini sendiri. Ya, aku sedar akhirnya nanti kita semua akan bersendiri. Dan aku kini sudah mula merasakan kesendirian itu.

Lazimnya aku akan ke terawih bersama jiran aku, yang sudahpun aku anggap seperti kakakku sendiri. Setelah persahabatan yang terjalin hampir 20 tahun lamanya, tahun ini tahun terakhir untuk kami berterawih berdua, kerana dia akan mendirikan rumah tangga tak lama lagi. Berdasarkan pengalaman dengan kawan-kawan yg lain, aku sedar kehidupan kami tidak akan sama lagi selepas dia bergelar isteri nanti.

Kalau dulu hidup aku banyak bergantung kepada ibu, setelah ibu pergi, kawan-kawan semua aku anggap antara yang paling dekat di hati. Sungguh, aku sayangkan mereka. Mereka yang selalu ada untukku. Yang selalu bergembira untukku. Yang berupaya sembunyikan sedihku. Dan sekarang aku sedar, kawan-kawan itu pun semua bakal meninggalkan aku dan menjalani kehidupan mereka yang baru. Kehidupan yang belum lagi untuk aku. Nanti, barangkali. Entah. Itu semua rahsia Allah.

Merewang fikiranku malam ini. Tahu-tahu aku sudahpun berada di dalam masjid. Kemudiannya aku sedar, sunyinya hidup ini adalah kerana bergantungnya kehidupan itu pada benda yang tidak pasti. Sedangkan Tuhanku yang satu ini senantiasa ada denganku. Aku silap. Tidak mungkin aku sendiri. Allah tidak pernah tinggalkan aku. Dia senantiasa ada. Senantiasa.

Friday, July 12, 2013

Hujan

Pernah kau lihat
Titis-titis air di tingkap kaca
Seolah berlumba mahu mencecah bumi
Pernah kau lihat
Dua titis bergabung dan menuruni tingkap kaca
Lebih laju dari yang lain
Dua titis hampir bergabung
Tapi akhirnya turun sendiri
Dua titis yang kelihatan seolah tidak mahu bergabung
Tapi akhirnya bersatu ketika hampir ke penghujungnya
Yang aku lihat
Titis-titis hujan itu
Semuanya punya satu destinasi

Kembali ke bumi.

Wednesday, July 10, 2013

Menarilah

Di bawah sayup sinaran bulan
Kaki ini menggubah tari
Sambil ditemani rintik hujan
Sambil bayu memeluk erat

Biarkan kaki ini
Teruskan menari
Tarian mengusir sepi

Tuesday, July 9, 2013

Holy

Fasa untuk diri menjadi tenang dan cuba lupakan masalah dunia sebanyak yang mungkin.

Ahlan ya ramadhan.

Semoga sempurna ramadan aku tahun ini ya Allah.

Sunday, July 7, 2013

Janji

Jangan runsing sayang
Walau datang angin beliung
Walau hujan selebat kilat
Walau awan mendung kelabu

Sang cinta yang aku pegang ini
Akan senantiasa terikat erat dalam hati
Dengan pegangan paling kuat
Masih tetap utuh memberikan cinta
Masih bisa muncul pelangi akhirnya

Friday, July 5, 2013

Rasa-rasanya

Tawar juga satu rasa
Tiada istilah tiada rasa
Kerana tawar itu yang aku rasa
Saat kau tiada.

Manis itu rasa
Yang aku teringin mahu rasa
Menanti kau kembali
Di sisi, barangkali.

Pahit itu rasa
Yang aku tidak bisa
Yang aku tidak mahu
Saat kau dan aku bersatu.

Masin, masam dan lainnya
Perencah perjalanan kita.

Tuesday, July 2, 2013

Bahagia

Pinjamkan sebentar rasa bahagia ini
Saat kaki mula mencecah pasir memutih
Saat angin mula menerpa halus ke pipi
Tika deruan ombak mula menyanyi
Terasa seperti
Seluruh alam sedang menemani

Aku mahu lupa segala derita
Segala sakit yang aku tanggung di jiwa
Aku mahu lupa yang hidup aku sunyi
Berteman bintang sepi dalam hujan malam
Menanti sinaran pelangi di hari kelam
Biarlah aku bahagia sebentar

Sunday, June 30, 2013

mesin masa

Letak aku dalam mesin masa. Aku boleh pilih untuk kembali kepada waktu sebelum kita bertemu, supaya dapat aku elak pertemuan itu. Supaya dapat aku cegah hati aku dari retak berpecah. Atau aku boleh ke masa hadapan dan lihat dengan siapa aku bahagia, atau, benarkah aku akan bahagia?

Tapi kalau kau letak aku dalam mesin masa, aku mahu ke masa sebelum kau dan dia bertemu. Aku mahu halang pertemuan itu. Aku mahu jadi penyebab untuk kau dan dia tidak pernah bersua, malah tidak pernah tahu nama. Aku mahu, dia dan kamu tidak jadi bersatu, kerana bagi aku kalau kau bukan untuk aku, biarlah kau bukan untuk siapa-siapa pun. Ya, cemburu aku ke tahap itu.

Bersyukurlah kerana mesin masa itu tidak wujud. Dan biarkan hati ini kembali meretak berpecah. Ini bukan yang pertama kali. Hati aku dah lama tak sempurna.
















p/s: masa hadapan lebih menakutkan. 

Thursday, June 27, 2013

Sukma aku

Boleh tak kau keluar dari sini?
Kau tahu masuk sendiri
Dan sekarang kau tak mahu pergi
Aku tak daya lagi
Menyimpan kau dalam hati ini
Aku relakan kau
Pergi
Jauh dari sini

Wednesday, June 26, 2013

Tuhan, jagakan dia

Suatu masa nanti
Akan tiba satu saat
Kau melangkah pergi meninggalkan hati ini
Terbiar kosong dan sepi
Meninggalkan sisa jejak memori
Waktu yang selama ini telah kita kongsi.

Saat kakimu mulai melangkah pergi
Aku doakan kebahagiaanmu nanti
Dengan si dia
Yang lebih layak memiliki
Ku titip doa rindu
Semoga Tuhan sentiasa lindungimu

Semoga bahagia yang kau cari
Dengan dialah kau temui

Tuesday, June 25, 2013

bunga dan kumbang




aku umpama bunga mewangi kembang
mekar menanti sang kumbang
yang pernah datang hinggap
dan memberi kucup sayang
kemudian hilang lalu terbang
untuk bersama si betina kumbang.
aku bunga yang malang


Saturday, June 22, 2013

sakti

saktiku adalah cinta
tanpanya aku insan biasa
menghayun kosong 
mengharap sunyi

cintaku kamu
dan kamulah sang sakti nya

Saturday, May 25, 2013

bintang

cuba kita berbaring di tengah padang itu,
padamkan semua lampu
tumpu pada satu

lihat taburan jutaan bintang di atas langit sana

aku tunjuk satu
kau tunjuk yang sana
aku tunjuk sang tiga sekawan
kau tunjuk satu garisan

cuba bilang berapa banyak bintang atas sana,
kau kata.
apa kau gila nak bilang semua,
aku kata sambil ketawa.

kau nak tahu sesuatu?
diam-diam aku sambungkan bintang-bintang itu
satu persatu.
dan aku nampak muka kamu.

tapi aku tak tahu.
kau juga diam-diam sambungkan bintang-bintang itu
satu persatu.
dan kau nampak muka aku.

dan bulan malam itu
tergaris satu lengkung senyum
melihat telatah kau dan aku.

dan si pungguk yang diam membatu
di atas pohonan rimbun itu
ketawa kecil dalam kalbu.

Thursday, May 23, 2013

sehelai kain untuk hari raya

Sehelai kain berwarna-warni
bercorak pelangi
bertatah manik-manik
membias cahaya.

Itu yang kita nampak.
Yang tak nampak adalah
kain itu bila diselak
ada sulaman renda-renda derita.

Sunday, May 19, 2013

kopi

macam minum kopi
bisa berjaga dari pagi ke pagi
jantung laju macam tengah berlari
ketagih hari-hari

dan kopi kegemaran aku
sudah tentu kamu

Friday, May 17, 2013

kasar

mungkin tutur kata aku kasar
mungkin bahasa aku keras
kadang aku terlepas kata
kadang aku mulut lepas

tapi aku lemah sebenarnya
aku tak daya
buat hatimu terluka
aku tak sengaja

aku bukan sengaja tinggikan suara
tapi bila asyik kata putus yang kau minta
hati aku bergelojak membara

kau dah gila?
macam mana aku nak hidup kalau kau tiada?

Thursday, May 16, 2013

seribu dan satu

seribu kali ditanya
apa kau berdua bercinta?
seribu kali itu aku menafikannya

seribu kali mereka kata
betapa serasi kita berdua
seribu kali aku rasa
itu semua mainan mata

seribu kali akal dan hati
berdebat berbalah mencinta membenci
seribu kali
aku cuba kata
tak, tak, aku tak cinta.
tak, tak, aku tak benci.

seribu kali aku kata
bukan kau yang aku suka

cukup.

cukup sudah seribu kali
kerna untuk kali ke seribu dan satu
mungkin aku akan ubah fikiranku

Tuesday, May 14, 2013

tamak

tamak
semua pun aku nak

cuba sedar sikit diri
cuba cermin pagi-pagi
cuba tengok daki-daki
cuba bangun dari mimpi
beza kita langit dan bumi

mana mungkin kita jodoh
wahai diri, berhenti jadi bodoh

tamak
tak dapat banyak
sikit pun tetap aku nak

Friday, May 10, 2013

si rabun

aku si rabun
kurang jelas penglihatannya
tanpa kanta, pasti teraba-raba
mata cuma mampu melihat dari jarak dekat sahaja

aku si rabun
kadangkala terlepas pandang
susukmu di seberang sana
aku kurang pasti apa yang aku lihat
jadi aku diamkan saja

aku si rabun
aku tertanya-tanya
apa yang sudah ada di depan mata
aku pakai kanta
masih yang sama
tapi bila ditanya
aku jawab tiada apa-apa
menafikan kewujudannya
konon kerana aku tak nampak

aku si rabun
yang punya hati
yang sudah rabak
yang dicarik kamu
cuma tunggu masa
untuk berlalu
pergi
tinggalkan kamu


Wednesday, May 8, 2013

awak

siapalah awak yang menjadi
pujaan hati si pujaan hatiku
yang tidak pernah memuja hati ini
malah tidak pernah ambil tahu

Monday, May 6, 2013

cemburu

untunglah kau gadis jelita 
kulit putih mulus gebu tiada cela
ditambah suara merdu menggoncang rasa
ah, lidah mu ramah semua kau tegur mesra
akalmu cakna isu lapuk dan semasa
kau manusia hampir sempurna
kau sesempurna seorang manusia yang dikatakan sempurna

aku tiada apa untuk dibicarakan dengan kamu
aku cuma mahu kau tahu beruntungnya kamu

dalam ramai-ramai manusia
dia pilih kau untuk jadi teman mesra

Sunday, May 5, 2013

Mereka yang buat aku rasa rendah diri

Semenjak dua menjak ni aku sering dipertemukan dengan insan-insan yang bagi aku, layak untuk aku gelar berkredibiliti tinggi. Yang bijak menyusun katanya. Yang pandai menjaga lisannya. Yang jaga apa yang perlu dijaga. Pendek kata, orang yang patut kita contohi, terutamanya dalam misi menjadi Muslim sejati, di samping menjadi seorang pelajar yang baik.

Ya, aku seorang pelajar.

Aku cuba ambil iktibar dari persahabatan yang terjalin dengan mereka. Perlahan-lahan aku cuba tiru gaya mereka. Buat apa yang mereka suka, ikut cara mereka. Baca buku yang mereka baca. Tiru gaya hidup mereka.

Sampaikan sampai satu masa, aku terasa seperti seorang anak kecil yang masih tidak teguh pendiriannya. Yang masih bertatih cuba berjalan, mengejar si ibu yang sudah jauh langkahnya ke hadapan. Sedangkan penghidupan ini, kalau diikutkan usia, sepatutnya aku sudah cukup matang. Cukup tua untuk kini berada mungkin berjalan seiringan dengan si ibu tadi, atau boleh juga berada di hadapannya.

Hampir 3 dekad penghidupan di dunia sementara ini, apa yang aku buat?

Astaghfirullah.

Semoga Allah terus menerus menghantar bimbingannya. Semoga aku tidak terus hanyut, leka dengan arus dunia sehingga lupa tujuan asal manusia diturunkan di muka bumi yang sifatnya ini hanyalah sementara.

Aku tahu, ini bukanlah kali pertama aku berjumpa dengan manusia yang aku lakarkan sebegitu rupa, tapi aku menyesal memikirkan berapa ramai manusia seperti itu yang telah hadir dalam hidup aku, tapi tidak aku endahkan. Semoga mata terus terbuka untuk melihat bantuanNya, semoga terus dipimpin ke jalan yang benar. InsyaAllah.

Terima kasih ya Allah, kerana kau pertemukan lagi dengan manusia yang bisa bawa aku bertatih menemui jalanMu.

nota cinta

notamu itu ringkas sahaja
tiada kata berbunga
tiada ayat jiwang kononnya
terus, telus, mulus bunyinya

notamu itu tidak kau tabur dengan janji
tapi jelas kau mahu cinta itu berjaya dipatri
kau mahu ikat dua hati
kau sanggup perlahan-lahan buat api
menggesek dua batu sampai jadi

kau tak kata 'aku cinta padamu'
kau tak kata 'aku sayang kamu selalu'
tapi siapa pun yang baca notamu itu
pasti mengerti maksud tersiratmu
perkahwinan yang kau mahu
cuma sedang hitung waktu

notamu itu sepatutnya rahsia
tapi entah macam mana aku terjumpa
di sebalik helaian hatimu itu
tersemat kemas lipatan nota cinta itu

sayang
penerima nota cinta itu
bukan aku.

Saturday, May 4, 2013

kau.

aku umpama seekor burung yang patah sayapnya
terbiar terdampar sepi menanggung derita
dibiar panas dan lencun sejuk berembun

kau datang
kau kutip aku
lukaku sembuh kau baluti
kotorku bersih habis kau cuci
sayap yang patah kau rawat hingga mampu mengepak luas
lapar dahaganya aku kau bagi makan minum sampai puas

kau buat aku rasa
mahu tebarkan sayap tinggi sampai angkasa
terasa kuat zahir dan jiwa
terasa mampu aku tawan dunia
asalkan kau mahu bersama

kau angkat aku tinggi kemudian kau lepaskan dan kau berlari
tinggalkan aku dan kepakku megah terbang tinggi

sedikit lagi mahu jejak angkasa
tapi kenapa tak rasa macam berkuasa?

aku masih perlu
tangan yang dulu rawat aku
yang cuci sisa jijik aku
yang beri aku tenaga seolah mampu aku menawan bumi
aku masih perlu kamu

tolong
jangan tinggalkan aku
walau tinggi mana pun aku terbang
diri kau aku masih perlu

mula.

ini monolog aku. monolog yang aku gantikan dalam bentuk penulisan. monolog yang aku bicara dalam hati, tapi sebenarnya aku nak sampaikan pada semua. ini bicara aku. bicara soal hati, soal cinta, soal kata, soal dunia, soal akhirat sana, soal semuanya.

aku ingin dunia tahu isi hati aku. tapi aku malu. jadi, izinkan aku luahkan di sini. izinkan kamu yang membaca ini menjadi pemeriksa hati ini.

aku akan cuba. memperindahkan kata-kata. aku akan cuba, tarik kau bersama ke dunia aku.

ayuh kita mula dengan langkah kanan. ayuh kita berdua berpimpinan tangan. ayuh menuju ke dunia aku.