Sunday, May 5, 2013

Mereka yang buat aku rasa rendah diri

Semenjak dua menjak ni aku sering dipertemukan dengan insan-insan yang bagi aku, layak untuk aku gelar berkredibiliti tinggi. Yang bijak menyusun katanya. Yang pandai menjaga lisannya. Yang jaga apa yang perlu dijaga. Pendek kata, orang yang patut kita contohi, terutamanya dalam misi menjadi Muslim sejati, di samping menjadi seorang pelajar yang baik.

Ya, aku seorang pelajar.

Aku cuba ambil iktibar dari persahabatan yang terjalin dengan mereka. Perlahan-lahan aku cuba tiru gaya mereka. Buat apa yang mereka suka, ikut cara mereka. Baca buku yang mereka baca. Tiru gaya hidup mereka.

Sampaikan sampai satu masa, aku terasa seperti seorang anak kecil yang masih tidak teguh pendiriannya. Yang masih bertatih cuba berjalan, mengejar si ibu yang sudah jauh langkahnya ke hadapan. Sedangkan penghidupan ini, kalau diikutkan usia, sepatutnya aku sudah cukup matang. Cukup tua untuk kini berada mungkin berjalan seiringan dengan si ibu tadi, atau boleh juga berada di hadapannya.

Hampir 3 dekad penghidupan di dunia sementara ini, apa yang aku buat?

Astaghfirullah.

Semoga Allah terus menerus menghantar bimbingannya. Semoga aku tidak terus hanyut, leka dengan arus dunia sehingga lupa tujuan asal manusia diturunkan di muka bumi yang sifatnya ini hanyalah sementara.

Aku tahu, ini bukanlah kali pertama aku berjumpa dengan manusia yang aku lakarkan sebegitu rupa, tapi aku menyesal memikirkan berapa ramai manusia seperti itu yang telah hadir dalam hidup aku, tapi tidak aku endahkan. Semoga mata terus terbuka untuk melihat bantuanNya, semoga terus dipimpin ke jalan yang benar. InsyaAllah.

Terima kasih ya Allah, kerana kau pertemukan lagi dengan manusia yang bisa bawa aku bertatih menemui jalanMu.

No comments:

Post a Comment