Saturday, May 25, 2013

bintang

cuba kita berbaring di tengah padang itu,
padamkan semua lampu
tumpu pada satu

lihat taburan jutaan bintang di atas langit sana

aku tunjuk satu
kau tunjuk yang sana
aku tunjuk sang tiga sekawan
kau tunjuk satu garisan

cuba bilang berapa banyak bintang atas sana,
kau kata.
apa kau gila nak bilang semua,
aku kata sambil ketawa.

kau nak tahu sesuatu?
diam-diam aku sambungkan bintang-bintang itu
satu persatu.
dan aku nampak muka kamu.

tapi aku tak tahu.
kau juga diam-diam sambungkan bintang-bintang itu
satu persatu.
dan kau nampak muka aku.

dan bulan malam itu
tergaris satu lengkung senyum
melihat telatah kau dan aku.

dan si pungguk yang diam membatu
di atas pohonan rimbun itu
ketawa kecil dalam kalbu.

Thursday, May 23, 2013

sehelai kain untuk hari raya

Sehelai kain berwarna-warni
bercorak pelangi
bertatah manik-manik
membias cahaya.

Itu yang kita nampak.
Yang tak nampak adalah
kain itu bila diselak
ada sulaman renda-renda derita.

Sunday, May 19, 2013

kopi

macam minum kopi
bisa berjaga dari pagi ke pagi
jantung laju macam tengah berlari
ketagih hari-hari

dan kopi kegemaran aku
sudah tentu kamu

Friday, May 17, 2013

kasar

mungkin tutur kata aku kasar
mungkin bahasa aku keras
kadang aku terlepas kata
kadang aku mulut lepas

tapi aku lemah sebenarnya
aku tak daya
buat hatimu terluka
aku tak sengaja

aku bukan sengaja tinggikan suara
tapi bila asyik kata putus yang kau minta
hati aku bergelojak membara

kau dah gila?
macam mana aku nak hidup kalau kau tiada?

Thursday, May 16, 2013

seribu dan satu

seribu kali ditanya
apa kau berdua bercinta?
seribu kali itu aku menafikannya

seribu kali mereka kata
betapa serasi kita berdua
seribu kali aku rasa
itu semua mainan mata

seribu kali akal dan hati
berdebat berbalah mencinta membenci
seribu kali
aku cuba kata
tak, tak, aku tak cinta.
tak, tak, aku tak benci.

seribu kali aku kata
bukan kau yang aku suka

cukup.

cukup sudah seribu kali
kerna untuk kali ke seribu dan satu
mungkin aku akan ubah fikiranku

Tuesday, May 14, 2013

tamak

tamak
semua pun aku nak

cuba sedar sikit diri
cuba cermin pagi-pagi
cuba tengok daki-daki
cuba bangun dari mimpi
beza kita langit dan bumi

mana mungkin kita jodoh
wahai diri, berhenti jadi bodoh

tamak
tak dapat banyak
sikit pun tetap aku nak

Friday, May 10, 2013

si rabun

aku si rabun
kurang jelas penglihatannya
tanpa kanta, pasti teraba-raba
mata cuma mampu melihat dari jarak dekat sahaja

aku si rabun
kadangkala terlepas pandang
susukmu di seberang sana
aku kurang pasti apa yang aku lihat
jadi aku diamkan saja

aku si rabun
aku tertanya-tanya
apa yang sudah ada di depan mata
aku pakai kanta
masih yang sama
tapi bila ditanya
aku jawab tiada apa-apa
menafikan kewujudannya
konon kerana aku tak nampak

aku si rabun
yang punya hati
yang sudah rabak
yang dicarik kamu
cuma tunggu masa
untuk berlalu
pergi
tinggalkan kamu