Lazimnya aku akan ke terawih bersama jiran aku, yang sudahpun aku anggap seperti kakakku sendiri. Setelah persahabatan yang terjalin hampir 20 tahun lamanya, tahun ini tahun terakhir untuk kami berterawih berdua, kerana dia akan mendirikan rumah tangga tak lama lagi. Berdasarkan pengalaman dengan kawan-kawan yg lain, aku sedar kehidupan kami tidak akan sama lagi selepas dia bergelar isteri nanti.
Kalau dulu hidup aku banyak bergantung kepada ibu, setelah ibu pergi, kawan-kawan semua aku anggap antara yang paling dekat di hati. Sungguh, aku sayangkan mereka. Mereka yang selalu ada untukku. Yang selalu bergembira untukku. Yang berupaya sembunyikan sedihku. Dan sekarang aku sedar, kawan-kawan itu pun semua bakal meninggalkan aku dan menjalani kehidupan mereka yang baru. Kehidupan yang belum lagi untuk aku. Nanti, barangkali. Entah. Itu semua rahsia Allah.
Merewang fikiranku malam ini. Tahu-tahu aku sudahpun berada di dalam masjid. Kemudiannya aku sedar, sunyinya hidup ini adalah kerana bergantungnya kehidupan itu pada benda yang tidak pasti. Sedangkan Tuhanku yang satu ini senantiasa ada denganku. Aku silap. Tidak mungkin aku sendiri. Allah tidak pernah tinggalkan aku. Dia senantiasa ada. Senantiasa.