Wednesday, March 12, 2014

Rasa mereka

Kenapa kau suka menulis?

Kerana aku suka apabila apa yang aku cuba sampaikan itu dibaca. Kerana aku puas setiap kali aku berjaya menyusun kata-kata. Kerana aku percaya tulisan itu berjaya mengubah dunia. Dunia kecil seseorang insan di luar sana. Aku suka apabila setiap kali tulisan aku itu berjaya menyentuh hati seseorang di luar sana. Aku puas apabila tulisan aku diberikan perhatian, bisa membuat sesorang yang membacanya tidak mahu lekang dari nota-nota aku. Aku punya banyak benda untuk bicara, dan tulisan itu bisa sampai ke seluruh pelusuk dunia, aku pasti.

Kau pula, kau suka apa?

Aku suka membaca. Aku suka melihat. Aku suka merasa kagum dengan benda-benda di sekeliling aku. Aku suka untuk mengetahui benda-benda yang aku tidak tahu. Aku suka melihat ragam manusia, kerana bagi aku setiap manusia itu unik. Aku suka melihat bintang. Taburan bintang di langit itu seolah-olah cuba mengukirkan sebuah karya yang cukup indah. Aku suka merenung bulan, merenung pantai. Mereka bikin aku tenang. Warna mereka seperti bisa membelai jiwa aku untuk menarik nafas perlahan dan menikmati momen itu.

Kamu pula? Kenapa kamu diam saja?

Aku lebih suka untuk diam, walau pada awalnya aku bukanlah begini. Aku sebenarnya suka bercerita, tetapi entah kenapa aku rasa tiada yang mahu mendengar cerita aku. Jadi lebih baik aku diamkan saja. Aku diam kerana aku rasa aku tidak punya bicara yang bijak untuk aku katakan, aku tidak punya keyakinan untuk berucap dengan kelancaran. Jadi, aku diam. Aku diam kerana aku tidak mahu melukakan hati sesiapa, terutama mereka yang mudah tersinggung hatinya. Aku diam, kerana aku, tidak punya apa untuk dibicara lagi. Cukup lah kalau aku diam, dan aku cuma bisikkan pada hati.

Hati, kau bagaimana?

Aku lelah. Terlalu banyak yang aku tempuh. Terlalu banyak rahsia yang aku tanggung. Terlalu banyak cinta yang telah gugur. Tapi aku masih bisa lagi, untuk terus hidup begini. Aku diberitahu bahawa aku ini kuat. Jadi aku harus buktikan yang aku kuat. Aku mampu untuk teruskan lagi, walaupun kadangkala terasa seperti lelah, aku rela teruskan. Aku mesti teruskan! Aku tidak mahu mengalah. Kerana aku suka berjuang, dan aku, adalah pejuang.


(menyahut cabaran Creative Tuesday utk Zine Paracetamol)

No comments:

Post a Comment